Saturday, December 25, 2010

Menguasai dua ayat



Allah S.W.T menyuruh umat islam mengkaji dua ayat. Pertamanya ayat-ayat Al-Quran dan keduanya ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta.
Menguasai alquran bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang agar dia mampu membaca Al Quran dengan baik. Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam dalam surah Al ‘Ankabut ayat 45, “ bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada al kitab (Al Quran)….”
Kemampuan membaca Al Quran dengan baik ini perlu disusuli dengan usaha untuk memahaminya dengan cara yang betul. Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 82 yang bermaksud, “Apakah mereka tidak tadabur Al Quran?Sekiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.”   
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir Al Azim berpendapat, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi Al Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat Al Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan.”
Kefahaman yang betul pula perlu disusuli dengan penghayatan yang mantap. Hal ini Allah telah sebutkan dalam surah Al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud, “an mereka yang telah kami berikan kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenar,mereka itulah yang beriman dengannya. Barangsiapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Berhubung dengan kalimat ‘membaca kitab dengan bacaan yang sebenarnya’ yang terdapat dalam ayat ini, seorang sahabat, Abdullah Ibn Mas’ud berkata, “demi Allah, maksud membaca kitab dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.” Hal ini disebut juga oleh As-Syeikh Said Hawa dalam kitabnya Al-Asas Fit Tafsir.
Selepas penguasaan ayat Al-Quran, ayat kedua yang perlu dikuasai ialah ‘ayat-ayat’ yg tersembunyi di alam semesta.’Ayat-ayat’ ini merupakan petanda serta bukti tentang kekuasaan Allah yang tersembunyi di alam semesta. Untuk mencapai tujuan ini, umat Islam perlu mengkaji alam ini secara sistematik. Inilah yang tersirat di sebalik firman Allah yang terdapat dlam surah Al-Ghasyiah ayat 17-20, “Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan.”
Ilmu yang diperoleh daripada kajian-kajian ini mampu melahirkan pengagungan terhadap Allah sekaligus meningkatkan pengabdian kepadaNya. Berhubung dengan ini Imam Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir Al-Quran Al Azim berkata, “Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang,bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengililingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung-ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperolehi bukti tentang kewujudan Tuhan yang Maha Pencipta lagi Maha Agung dan Maha Bijaksana.”
Justeru, golongan pengkaji dimuliakan Allah dan dia menggelar mereka sebagai ulul albab. Dalam surah Ali-Imran ayat 190-191 Allah berfirman, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan Kami, Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka’ .” 
Ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Mereka mementingkan zikir dan fikir.dalam konteks fikir, mereka suka mengkaji fenomena-fenomena yang berkaitan dengan kejadian alam.
Penghormatan yang Allah berikan kepada golongan yang suka mengkaji alam, sehingga mengglar mereka sebagai ulul albab. Ia merupakan ransangan yang istimewa daripada Allah agar umat Islam mendekati dan mengkaji alam. Dengan itu ketaqwaan mereka kepada Allah akan meningkat. Secara khususnya, antara ciri yangterdapat pada ulul albab ialah suka mengkaji dan bertafakur tentang penciptaan langit dan bumi. Pada hari ini, golongan yang banyak mengkaji tentang kejadian langit dan bumi ialah pakar-pakar sains dalam bidang astronomi dan astrofizik. Maka dalam ayat 190 dalm surah Ali Imran memberi penjelasan berhubung alul albab meransang umat Islam agar menjadi saintis yang sentiasa mengingati Allah.