Friday, October 29, 2010

penyembelihan dalam islam dan pandangan sains




Binatang yang halal dalam islam dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, yang susah ditangkapuntuk disembelih (seperti rusa dan kijang) dan yang kedua, yang mudah ditangkap untuk disembelih (lembu dan kambing). Hal ini dijelaskan Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 94 yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya Allah mengujimu denag sesuatu dari binatang buruanmu yang dapat ditangkap oleh tangan-tanganmu dan dengan menggunakan tombak-tombakmu”.
Daging binatang liar yang halal dimakan menjadi halal selepas ia diburu dengan menggunakan senjata tajam dan ia mati selepas dilukai oleh senjata itu. Berhubung dengan ini Adi Ibn Hatim pernah bertanya Nabi tentang binatang yang mati selepas terkena golok. Baginda bersabda, “Jika kamu melempar dengan golok dan golok itu menembusi kulitnya (dan melukainya)  maka makanlah dagingnya. Jika tidak maka janganlah dimakan dagingnya”. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Demikian juga hukumnya (iaitu halal) jika binatang diburu dan ditangkap oleh binatang-binatang liar (seperti anjing) yang terlatih dengan syarat daging binatang yang ditangkap itu tidak dimakan oleh binatang pemburu itu.Dalam Surah Al-Maidah ayat 4 Allah berfirman, “Katakanlah, dihalalkan kepadamu makanan yang baik-baik dan binatang yang diburu oleh anjing yang terlatih yang kamu lepaskan buat memburu binatang sedangkan kamu telah mendidik anjing itu dengan sesuatu yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka bolehlah kamu memakan binatang yang ditangkap oleh anjing itu dan sebutlah nama Allah ketika melepaskannya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat perhitungannya”. 
Berhubung dengan binatang yang mudah ditangkap, ketika melakukan penyembelihan, umat Islam diarahkan agar merehatkan haiwan berkenaan dan kemudian menggunakan sebilah pisau yang tajam memotong bahagian leher haiwan itu.
Dalam konteks ini Muslim meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menuntut keelokan dalam setiap perkara…Apabila kamu menyembelih elokkanlah penyembelihanmu. maka tajamkanla pisaumu dan rehatkanlah binatang sembelihanmu”.
Umat Islam dilarang dari menyeksa dan menyakitkan binatang-binatang sebelum penyembelihan dilakukan. Dalam  sebuah riwayat oleh Abdul Razak, Umar Al-Khattab pernah melihat seorang lelaki mengikat kaki seekor kambing dan kemudian mengheretnya ketempat penyembelihan. Umar pun berkata, “ Celaka kamu. Bawalah ia ketempat penyembelihannya dengan cara yang baik”. Tambahan dari itu, perbuatan menajamkan pisau dihadapan haiwan yang bakal disembelih juga dilarang oleh agama.
Mengikut sebuah riwayat oleh Abdullah Ibn Abbas, seorang lelaki selepas membaringkan kambing yang akan disembelihnya, telah mengasah pisaunya dihadapan kambing tersebut. Nabi pun bersabda, “Apakah kamu hendak membunuhnya dan menjadikannya bangkai? Mengapa kamu tidak mengasah pisaumu sebelum kambing itu dibaringkan?”.Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Hakim.
Sembelihan dalam Islam hendaklah dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (trachea) dan saluran penghadaman (oesophagus) haiwan di samping pembuluh darah arteri karotid (coratid artery)  dan saluran darah jugular (jugular veins) di bahagian kiri dan kanan. Yang tidak boleh dipotong ialah saraf tunjang yang terletak di bahagian leher haiwan itu. 
Pemotongan saluran pernafasan dan pembuluh-pembuluh darah ini menyebabkan darah terus melimpah keluar sekaligus menurunkan tekanan darah secara mengejut di samping menjadikan sistem otak terputus dari bekalan oksigen dan glukosa. Keadaan ini menyebabkan haiwan itu terus  pengsan tanpa menderita sakit diikuti dengan kelupur beberapa saat selepas itu.
Haiwan yang disembelih ini menggelupur disebabkan otaknya yang kehilangan oksigen dan bukannya disebabkan sakit. Walau bagaimanapun jantungnya masih terus mengepam darah disebabkan saraf tunjangnya yang mengawal sistem denyutan jantung masih berada dalam keadaan yang elok kerana ia tidak dipotong ketika penyembelihan berlaku.
Dalam pembentangan yang dibuat oleh Dr. Abdul Majid Katme, Pengerusi Persatuan Perubatan Islam UK, di symposium yang bertemakan Humane Slaughter and Euthanasia, yang diadakan di Zoological Society Of London, Regent’s Park, pada 18-19 september 1986, beliau berkata sembelihan seperti yang dilakukan  oleh umat Islam adalah saintifik dan hal ini telah disahkan oleh ramai saintis. Beliau menegaskan, “Sebagai contoh, Lord Horder GCVO, MD, FRCP, berkata, ‘Oleh kerana cara sembelihan sebegini tidak menyakitkan di samping menyebabkan kematian yang cepat dalam masa hanya beberapa saat  selepas sembelihan dilakukan, susah hendak kita temui pendekatan yang lebih baik dari ini.
Di peringkat awal  sembelihan binatang yang disembelih berada dalam keadaan diam dan tidak bergerak, kemudian ia meggelupur sebelum menjadi diam dan tidak bergerak semula. Keadaan ini mempunyai sebab musababnya. Oleh kerana haiwan disembelih dengan menggunakan pisau yang tajam oleh seorang yang mahir, ia terus tidak sedarkan diri. Hal ini disebabkan urat darah (di lehernya) telah putus dan ini menyebabkan tekanan darah turun secara mengejut. Haiwan menggelupur selepas lebih kurang 90 saat sembelihan dilakukan disebabkan otak telah kehilangan banyak oksigen serta darah yang banyak (cerebral ischemia with complete anoxaemia). Deria rasa juga turut hilang sejak haiwan itu tidak sedarkan diri di peringkat awal.’
Kenyataan yang lebih kurang sama juga telah dinyatakan oleh Dr. Leonard Hill (1923), Sir Lovatt Evans, Professor Harold Burrow, I.M. Levingen (1979), Professor F. R.Bell dan ramai lagi. Sebahagian kenyataan mereka telah dimuatkan dalam Impact Magazine tahun 1985”.
Sebahagian golongan di barat menganggap cara penyembelihan yang dilakukan oleh umat Islam adalah kejam. Justeru mereka mengetengahkan pendekatan baru yang dikenali sebagai tunning sebelum penyembelihan dilakukan ke atas haiwan. Stunning bermaksud haiwan yang akan disembelih dipengsankan terlebih dahulu agar ia tidak berasa sakit ketika penyembelihan dilakukan. Antara pendekatan yang digunakan ialah Captive Bolt Pistol Stunning atau CBP. CBP menggunakan sejenis pistol yang diisikan dengan peluru dalam bentuk pengancing (bolt) yang ditembak pada kelajuan 55meter/saat dan bagi binatang yang besar 75meter/saat. Terdapat dua jenis besi pengancing yang sering digunakan sebagai peluru. Pertamanya besi pengancing yang merosakkan bahagian utama otak iaitu bahagian serebum dan serebelum dan yang keduanya besi yang sekadar memberi gegaran kuat pada otak. Selepas ditembak, peluru akan memasuki semula kedalam pistol. Kedua-dua pendekatan ini meyebabkan binatang sembelihan jatuh pengsan supaya selepas itu sembelihan dapat dilakukan keatasnya   tanpa binatang itu menderita sakit.
Mengikut kajian terkini yang dilakukan oleh Texas A&M University dan Canada’s Food Inspection Agency, penggunaan pistol untuk menembak besi ke kepala haiwan diikuti dengan tindakan mengenakan kepada otak itu tekanan setinggi 150 paun menyebabkan otak haiwan itu pecah berkecai di dalam badan.
Mengikut Leila Corcoran dalam artikelnya Cattle Stun Gun May Heighten Mad Cow Risk yang dilaporkan didalam Reuters News Service bertarikh 25 julai 1997, keadaan otak yang berkecai ini boleh menjadi penyebab kepada serangan penyakit Lembu Gila atau Bovine Spongiform Encephalopathy yang sering berlaku pada hari ini.
Di samping CBP, sebahagian haiwan dipengsankan dengan mengenakan kejutan elektrik ke dalam otak melalui alat tertentu yang di pasang di kiri dan kanan kepala haiwan.Namun pendekatan ini mempunyai kontroversinya. Dr. Abdul Majid Katme di dalAm pembentangannya di symposium yang sama berkata, “E.H. Callow di dalam bukunya Food Hygiene mengatakan haiwan yang dikenakan kejutan elektrik mengalami kelumpuhan tetapi masih sedar dan boleh mengalami kesakitan. Mengikut Blackmore pada than 1982, perbuatan mengenakan kejutan elektrik secara langsung melalui kepala haiwan adalah suatu perbuatan yang kejam.”
Sesetengah haiwan pula, seperti itik dan ayam, dipengsankan melalui kejutan elektrik dalam tangki air. Untuk tujuan ini, mengikut laporan yang dibuat oleh FAWC, satu pertiga daripada haiwan ini mati (menjadi bangkai) selepas menerima kejutan dan sepertiga yang lain masih sedar dan merasai kesakitan.
Jusretu, di sudut sains,penyembelihan secara islam adalah lebih berperikemanusiaan berbanding dengan pendekatan yang lain. Benarlah Professor Charless Lovett Evans, F.R.C.V.S. (seperti yang dilaporkan oleh Dr. Abdul Majid Katme) ketika beliau berkata, “Sesiapa yang melihat cara sembelihan (Islam) ini menyedari bahawa haiwan yang disembelih tidak bergerak ketika urat darah di leher di potong. Haiwan itu hanya menggelupur selepas seminit masa berlalu dan hal ini disebabkan ketika itu otak sudah kehilangan darah. Di sudut ilmu fisiologi, ketika urat darah dipotong, tekanan darah menjunam ke paras yang rendah. Pada ketika yang sama aliran darah ke otak telah terputus sama sekali dan ini menyebabkan haiwan itu terus tidak sedarkan diri. Pendapat yang mengatakan bahawa haiwan ini menderita sakit ketika sembelihan dilakukan adalah tidak masuk akal.”


No comments: